Isnin, 27 Mei 2013

CIRI-CIRI PENDIDIK ABAD KE-21


Diam tak diam, kita telah berada dalam Abad Ke-21 selama 13 tahun 101 hari. Namun, sehingga hari ini warga pendidikan tidak lekang-lekang menyebut tentang Pendidikan Abad Ke-21. Apakah maksud sebenar Pendidikan Abad Ke-21 atau adakah ia lebih merupakan anjakan paradigma proses pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) oleh guru yang mengintegrasikan bahan daripada pelbagai sumber terutamanya yang berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk menghasilkan PdP yang berkesan dan menarik?

Di Malaysia, negeri Terengganu Darul Iman boleh dilihat sebagai pelopor kepada corak pengajaran dan pembelajaran Abad Ke-21 melalui pelaksanaan Program e-book oleh Kerajaan Negeri mulai tahun 2009. e-Book ialah sebuah komputer mini yang dilengkapi perisian akademik mengikut sukatan Kementerian Pelajaran Malaysia bertujuan memudahkan proses pembelajaran di dalam kelas, sekaligus mengurangkan beban murid untuk membawa buku ke sekolah. Walaupun terdapat beberapa isu dan cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan program ini, usaha sebegini harus dipuji dan disokong supaya Pendidikan Abad Ke-21 benar-benar menjadi kenyataan dan menjadi sebahagian daripada lanskap pendidikan negara ini.

Guru dan juga pemimpin sekolah seharusnya menjadi pemangkin kepada perubahan minda dan pengurusan perubahan supaya dapat menangani perubahan-perubahan yang berlaku dalam pendidikan secara berterusan. Kejutan budaya dan pandangan negatif tidak seharusnya berlaku sekiranya semua pihak memainkan peranannya masing-masing. Akan tetapi, bagaimanakah kita melaksanakan perubahan ini? Kita boleh bermula sedikit demi sedikit dengan mengenal pasti ciri-ciri pendidik Abad Ke-21 seperti rajah di bawah. Jika kita sentiasa bersikap terbuka, kreatif dan inovatif dalam menangani perubahan, tanpa kita sedari kita telah berubah daripada seekor ulat beluncas yang hanya merayap di atas daun-daunan kepada rama-rama yang mampu terbang di angkasa.



0 comments:

Catat Ulasan

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More